BREAKING NEWS

Sukan

Nasional

Politik

Friday, April 10, 2015

Warga kota mengeluh harga barang meningkat selepas 10 hari laksana GST



Sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April lalu, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada cara perbelanjaan dalam kalangan masyarakat.

Kebanyakan rakyat terutama di ibukota kecewa dengan peningkatan beberapa harga barang selepas sepuluh hari pelaksanaan GST dan  ia adalah satu perkara yang mengecewakan.

“Saya berasa sangat kecewa kerana hari itu saya menambah nilai untuk telefon bimbit sebanyak RM45, kemudian saya dikenakan caj sebanyak RM2.70. Saya rasa perkara ini tidak patut."

"Dengan RM2.70 itu sebenarnya saya boleh membeli sesuatu yang lebih bagus. Contohnya dengan membeli makanan," ujar Sabrina, pelajar, 20.

“Kalau membeli makanan di kedai seperti kuih muih pun sudah naik harga. Jadi jika mahu membeli makanan untuk kehidupan seharian sebagai pelajar daripada pagi sampai malam tu, kemungkinan kami terpaksa mengurangkan perbelanjaan sedikit.

“Mungkin kami hanya boleh makan sekali sahaja dalam sehari.

"Ada juga dalam kalangan kami akan membuat kerja sampingan untuk menanggung perbelanjaan yang lain seperti duit minyak, memandangkan ada juga antara kami menggunakan kereta sendiri," jelas Aishah, pelajar, 20.

Bagi ahli peniaga Prema Mathibalan, perbelanjaan kehidupan sehariannya sedikit terganggu selepas GST dilaksanakan.

“Kalau membuat perbelanjaan yang sedikit, mungkin kita tidak terasa sangat (terganggu perbelanjaan).

"Namun jika kita membeli barang-barang yang banyak contohnya untuk mengubah suai rumah sudah tentunya kita terasa terganggu kerana contohnya kita terpaksa membayar lebih sebanyak RM70 atau RM60. Padahal nilai RM60 atau RM70 itu boleh digunakan untuk membeli barangan yang lain. Dari situ kita akan rasa membebankan."

Walaupun terasa beban dengan cukai ini, Prema berasakan orang ramai juga perlu bekerja keras untuk menjana pendapatan yang lebih baik.

“Jujurnya cukai GST ini membebankan, namun kita harus berusaha keras untuk menjana pendapatan yang lebih kerana di Malaysia kita ada pelbagai lapisan masyarakat daripada miskin sehingga kaya.

“Jika kita menjana pendapatan yang baik, mungkin kita tidak sangat terasa bebannya seperti mereka yang lain. Namun bagi mereka yang berada di peringkat bawahan, mungkin dia akan rasa lebih membebankan daripada mereka yang berada.


Selain itu, ada juga pihak mengharapkan kerajaan dapat meningkatkan kesedaran mengenai GST supaya orang ramai dapat memahami cukai ini dengan lebih baik.


Post a Comment

 
Copyright © 2015 Sinaran Harian
Powered byBlog