BREAKING NEWS

Sukan

Nasional

Politik

Monday, August 10, 2015

Tun M: Pemulangan 2 pegawai SPRM tindakan positif


KAJANG - Pembatalan perpindahan dua pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke agensi itu merupakan satu tindakan positif.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dua pegawai tersebut diharapkan dapat memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan mengenai derma bernilai RM2.6 bilion diterima ke akaun peribadinya.



"Itu satu-satunya perkara yang positif setakat ini. Persoalannya, jika mereka dipindah balik adakah mereka akan panggil Najib untuk beri penjelasan.



"(Kerana) difahamkan mereka ditukar setelah mengumumkan mahu memanggil Najib dalam siasatan sumber derma ke akaun peribadinya. Jadi saya harap mereka akan panggil Najib untuk beri penjelasan," katanya dalam sidang media selepas Pesta Minda Malaysia ke-11, di sini, hari ini.






Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan ke jawatan asal masing-masing berkuat kuasa serta merta.



Katanya, kedua-dua pegawai itu telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media dalam satu pertemuan bersama beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Putrajaya, pagi tadi.



Jumaat lalu, Bahri dan Rohaizad ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dan diarah melaporkan diri hari ini.


Post a Comment

 
Copyright © 2015 Sinaran Harian
Powered byBlog