BREAKING NEWS

Sukan

Nasional

Politik

Saturday, November 19, 2016

10 punca ini akan menyebabkan rumah anda dipecah masuk..hati-hati!!


Tidak terlambat rasanya untuk kita bincangkan punca-punca sesebuah rumah itu dipecah masuk walaupun diluar musim cuti perayaan. Statistik menunjukkan kes-kes pecah masuk semakin meningkat kerana kelalaian pemilik rumah untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan rumah mereka dipecah masuk. 

Berikut adalah senarai beberapa punca rumah anda bakal menjadi sasaran pecah rumah.

1. Menyorokkan kunci pendua ditempat yang biasa orang sorok. Pencuri kini lebih arif mengenai lokasi-lokasi yang mungkin digunakan oleh tuan rumah seperti di dalam kasut, di bawah alas kaki, di dalam kotak surat dan lain-lain lagi. Sebaliknya lebih selamat jika anda berikan kunci pendua kepada jiran atau saudara-mara terdekat yang dipercayai.

2. Maklumkan di dalam laman sosial mengenai percutian keluarga anda. Ini adalah satu perbuatan yang kurang bijak. Ini kerana di dalam laman sosial, ramai yang dapat membaca status anda. Mereka akan menggunakan maklumat ini untuk merancang jenayah pecah rumah terhadap anda.

3. Membuang kotak perkakasan elektrik di luar pagar. Perbuatan ini seolah-olah memberitahu orang ramai "Oii.... aku ada tv baru!". Ramai yang berbuat begini, tak tahu la samada nak menunjuk atau malas. Sebaiknya anda koyakkan kotak tersebut dan ikat bersama secara terbalik. Ini bagi mengelakkan orang melihat kotak apakah itu.

4. Meletakkan tangga mudah alih di luar rumah. Pencuri boleh menggunakan tangga ini untuk memanjat atap rumah anda di mana ianya adalah tempat yang paling mudah dipecah masuk. Simpan tangga anda di dalam rumah ataupun stor yang berkunci.

5. Biarkan rumah anda gelap-gelita. Rumah yang tidak mempunyai pencahayaan luar yang cukup menjadi sasaran kegemaran pencuri. Ini kerana mereka boleh melakukan 'kerja' mereka tanpa dilihat orang atau jiran tetangga. Ganti mana-mana mentol yang telah terbakar dan terangilah rumah anda dengan lampu-lampu. Jangan kedekut kerana ianya mungkin boleh menyelamatkan rumah anda.

6. Terlalu banyak pokok-pokok yang tinggi/lebat. Rumah yang terlalu banyak pokok-pokok yang tinggi/lebat membolehkan pencuri menyembunyikan diri di celah pokok-pokok tersebut. Seeloknya tanam pokok-pokok pasu ataupun trim pokok-pokok yang ditanam supaya tidak menjadi terlalu tebal.

7. Pintu dan tingkap tanpa ciri-ciri keselamatan. Kebanyakan rumah mempunyai jeriji besi (grill) di tingkap-tingkap dan pintu-pintu. Tetapi yang tidak menggunakan jeriji besi, adalah dinasihatkan anda memasang kunci tambahan di tingkap dan pintu luncur. Ini kerana tingkap dan pintu luncur ini amat mudah sekali untuk dibuka dari luar. Anda boleh memasang sendiri kunci ini dengan mudah dan ianya tidak menelan kos yang tinggi.

8. Membiarkan stor anda tidak berkunci. Jika anda mempunyai stor di luar rumah, pastikan anda mengunci stor tersebut kerana di dalam stor anda mungkin menyimpan alat-alat yang boleh digunakan oleh pencuri untuk memecah masuk ataupun digunakan sebagai senjata. Kuncilah stor anda sebaiknya.

9. Tiada sistem pengera rumah. Jika anda mampu, anda disarankan menggunakan pengera yang akan berbunyi jika rumah anda dipecah masuk. Ini akan menyebabkan pencuri itu lari kerana panik ataupun memberi amaran kepada jiran-jiran anda.

10. Terlalu mengharap kepada anjing peliharaan. Jika anda membela anjing peliharaan, adalah disarankan anda tidak terlalu bergantung kepada anjing peliharaan untuk menakutkan pencuri. Ini kerana sudah banyak kes di mana anjing diberi makanan yang mengandungi racun. Anjing juga akan berasa takut jika pencuri mempunyai senjata.

Cegah lebih baik sebelum terkena. Pastikan anda ubah amalan biasa waktu meninggalkan rumah tanpa berpenghuni. Yang sangat dikhuatiri ialah rumah anda dipecah ketika ahli keluarga berada di dalam rumah. Semoga kejadian seperti ini dijauhkan dari kita semua. Berwaspadalah!

Post a Comment

 
Copyright © 2015 Sinaran Harian
Powered byBlog