BREAKING NEWS

Sukan

Nasional

Politik

Saturday, November 19, 2016

Anak Jawa ini terus bersemangat!


NAMA Gmie mungkin asing buat peminat muda, tidak kurang ramai yang mengikuti muzik rock leleh zaman 1990-an juga kurang mengenali nama kumpulan Screen.

Sejak kemunculan kumpulan ini, hanya ada satu atau dua lagu yang benar-benar menaikkan nama mereka, antaranya Tidak Suka Tidak Apa yang sememangnya diingati sehingga ke hari ini.

Selain itu, kumpulan Screen seperti ada dan tiada sahaja. Sehinggalah vokalisnya Gmie muncul sebagai peserta Gegar Vaganza musim ketiga, nama Screen mula mencuri tumpuan.

Tidak hanya itu, Gmie mula mengumpul peminat baharu dan lama. Ternyata semangat anak jawa ini tidak mudah luntur dan buktinya Gmie mampu bertahan sehingga minggu kelima.

“Saya berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Biarkan menyanyi bukanlah pencarian utama saya mahupun ahli kumpulan yang lain, tetapi kerana minat dan kepercayaan ramai orang membuatkan nama kami dan saya masih berada di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anak jati Sijangkang, Selangor ini masih bekerja sebagai kerani logistik, pekerjaan yang sama disandang sejak 26 tahun lalu.

“Saya senang dengan kerjaya tetap saya. Saya beruntung kerana syarikat tempat saya bekerja memahami minat saya dan memberi pelepasan terhadap konsert Gegar Vaganza ini.

“Walaupun masih bekerja seperti biasa, tetapi saya akan pastikan kedua-duanya minat dan kerjaya saya seiring,” kata ayah kepada lima cahaya mata ini.

Walaupun menyanyi secara solo, Gmie akui anggota Screen yang juga merupakan rakan karibnya tidak pernah melepaskan peluang memberi sokongan terhadapnya dalam pertandingan ini.

“Saya seronok melihat mereka hadir saban minggu memberi sokongan kepada saya.

“Dengan sokongan itu dan semangat yang diberikan keluarga dan peminat, saya akan melakukan sehabis baik dalam pertandingan yang besar ini,” katanya.

Merupakan peserta ‘underdog’, Gmie tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan kesemua saingannya mempunyai kekuatan vokal dan aura tersendiri.

“Saya beruntung kerana berada di kalangan penyanyi-penyanyi hebat ini. Mereka membuatkan saya terus bersemangat.

“Siapa tidak mahu sampai pentas akhir, tetapi segala-galanya bergantung pada diri saya sendiri. Jika saya dapat buat betul-betul, adalah tempat saya, kalau sebaliknya, saya akur dengan keputusan juri,” katanya.

Selain berada di Gegar Vaganza, Gmie sebenarnya sudah menyiapkan lagu baharunya untuk dirakam.

“Saya ada cipta lagu yang bergenre rock. Ramai yang tahu Screen adalah kumpulan rock dan ia tidak boleh lari dari jiwa saya.

“Harapan saya, supaya lagu ini nanti, apabila diperdengarkan akan mendapat tempat di hati peminat,” katanya yang turut mengakui media sosial hari ini banyak membantu dirinya menempatkan diri semula dalam bidang seni.

Biarpun sudah lebih 20 tahun menyanyi, Gmie sentiasa belajar dan meningkatkan mutu vokalnya.

“Belajar itu hari-hari. Kalau bukan nyanyian pun, perkara lain kita perlu belajar setiap waktu. Apa yang saya buat atas dasar minat. Jadi saya perlu bersungguh-sungguh,” katanya.

Post a Comment

 
Copyright © 2015 Sinaran Harian
Powered byBlog