BREAKING NEWS

Sukan

Nasional

Politik

Saturday, November 21, 2015

India & Bangladesh ajar Johan berlapang dada


Sekembalinya pelakon Johan Ariff As’ari ke tanahair selepas mendalami ilmu di India dan Bangladesh, dia memperoleh pengalaman yang lebih banyak mengajarnya erti kehidupan.
Menurut dia yang lebih dikenali sebagai Johan As’ari, berada di negara orang untuk mengikuti pengajian agama berjaya membantunya supaya bersikap lebih berlapang dada.
“Apabila pergi menimba ilmu, saya mempelajari beberapa perkara.
“Antaranya, apabila kita sering memerhati perilaku seseorang, orang lain juga boleh melihat kelemahan kita,” katanya ketika ditemui di sesi tonton filem Juvana 2 baru-baru ini.
Juvana 2 diarah Faisal Ishak dan turut menampilkan pelakon seperti Zahiril Adzim, Hasnul Rahmat, Pekin Ibrahim, Adam Shahz dan Nad Zainal.
Filem itu menyambung cerita perjalanan hidup Daim (Zahiril), Botak (Johon) dan Ayam (Adam) serta rakan mereka menyesuaikan diri selepas menjalani hukuman seperti dipaparkan dalam produksi sebelum ini.
Johan berkata, dia menghabiskan masa selama kira-kira 40 hari di New Delhi, India dan seminggu lagi di Bangladesh untuk tujuan berkenaan.
Sebelum mendapat tawaran berlakon, Johan berkata, dia pernah belajar selama setahun di Pondok as-Syuhada di daerah Muara Sebunga, Jambi untuk mendalami ilmu al-Quran dan hadis.
Anak kedua daripada empat beradik itu menyatakan keputusannya untuk menyambung pengajian dibuat selepas ibunya Datin Firdaus Abdul Kader, 58, meninggal dunia akibat strok Mei lalu.
Cuba fahami teguran
Dalam pada itu, Johan juga berterima kasih kepada rakannya yang mencadangkan India sebagai tempat melanjutkan pengajian kerana tanpa disangka, ia menjadi lokasi strategik untuknya mengenali orang dari serata dunia.
Katanya, menuntut ilmu serta mengikuti pengajian bersama orang yang mempunyai kerjaya seperti doktor dan jurutera membuat dirinya berasa kerdil.
"Selain menyedari saya hanya orang biasa, ia sekaligus membuat saya lebih terbuka menerima pandangan dan teguran.
“Bila orang menegur, kita kena hargai dan menerima kritikan secara terbuka," katanya.
Berdasarkan pemerhatiannya, pada ketika tertentu guru yang mengajar itu membuat teguran dan ia diterima dengan baik oleh pelajar, termasuk di kalangan berkerjaya tinggi.
Keadaan itu membuat dia terfikir - jika mengapa mereka boleh menerima teguran itu, mengapa dia tidak?
Bagi Johan, seseorang tidak boleh cepat melenting apabila mempelajari sesuatu, sebaliknya berlapang dada dan menganggap setiap teguran adalah salah satu cara untuk mengubah diri menjadi lebih baik.
“Bagi saya, jangan berfikiran sempit, apabila orang menegur, itu tandanya mereka prihatin kepada kita, mendoakan, malah menyayangi kita.
“Kita tidak harus marah, tetapi cuba faham maksud di sebalik teguran,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Post a Comment

 
Copyright © 2015 Sinaran Harian
Powered byBlog